gambar sekadar hiasan
Suami saya adalah seorang jurutera, saya mencintai sifatnya yang  semulajadi dan saya menyukai perasaan hangat yang muncul dihati saya  ketika bersandar dibahunya.
 3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa pernikahan, saya  harus akui, bahawa saya mulai merasa letih…lelah, alasan-alasan saya  mencintainya dulu telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya  seorang wanita yang sentimental dan benar-benar sensitif serta  berperasaan halus. Saya merindui saat-saat romantis seperti seorang anak  kecil yang sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi, semua  itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh berbeza dari yang saya  harapkan. Rasa sensitifnya kurang. Dan ketidakmampuannya dalam  menciptakan suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah  mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang ideal.
 Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan keputusan saya  kepadanya, bahawa saya inginkan penceraian.
 “Mengapa?”Dia bertanya dengan nada terkejut.
“Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta yang saya  inginkan.” Dia diam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya,  nampak seolah-olah sedang mengerjakan sesuatu, padahal tidak.
 Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang tidak dapat  mengekspresikan perasaannya, apalagi yang boleh saya harapkan  daripadanya? Dan akhirnya dia bertanya. “Apa yang Abang boleh lakukan  untuk mengubah fikiran Siti?” Saya merenung matanya dalam-dalam dan  menjawab dengan perlahan.
 
 “Siti ada 1 soalan, kalau Abang temui jawapannya didalam hati Siti,  Siti akan mengubah fikiran Siti; Seandainya, Siti menyukai sekuntum  bunga cantik yang ada ditebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang  memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah yang Abang akan  lakukan untuk Siti?”
 Dia termenung dan akhirnya berkata, “Abang akan memberikan jawapannya  esok.” Hati saya terus gundah mendengar responnya itu.
 Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya menenui selembar  kertas dengan coretan tangannya dibawah sebiji gelas yang berisi susu  hangat yang bertuliskan…
 ‘Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi  izinkan Abang untuk menjelaskan alasannya.” Kalimah pertama itu  menghancurkan hati saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.
 “Siti boleh mengetik dikomputer dan selalu mengusik program  didalamnya dan akhirnya menangis di depan monitor, Abang harus  memberikan jari-jari Abang supaya boleh membantu Siti untuk memperbaiki  program tersebut.”
 “Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti keluar, dan Abang  harus memberikan kaki Abang supaya boleh menendang pintu, dan membuka  pintu untuk Siti ketika pulang.” “Siti suka jalan-jalan di shopping  complexs tetapi selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di tempat-tempat  baru yang Siti kunjungi, Abang harus mencari Siti dari satu lot kedai  ke satu lot kedai yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah.”
 “Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu ‘teman baik’ Siti datang  setiap bulan, dan Abang harus memberikan tangan Abang untuk memicit dan  mengurut kaki Siti yang sengal itu.”
 “Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu risau Siti akan  menjadi ‘pelik’. Dan Abang harus membelikan sesuatu yang dapat  menghiburkan Siti dirumah atau meminjamkan lidah Abang untuk  menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami.”
 “Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk  kesihatan mata Siti, Abang harus menjaga mata Abang agar ketika kita tua  nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kukumu dan memandikanmu.”
 “Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing menelusuri  pantai, menikmati matahari pagi dan pasir yang indah. Menceritakan  warna-warna bunga yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.”
 “Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu untuk mati.  Kerana, Abang tidak sanggup melihat airmatamu mengalir menangisi  kematian Abang.”
 “Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih  daripada Abang mencintai Siti.”
 “Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki,  mata Abang tidak cukup bagi Siti. Abang tidak akan menahan diri Siti  mencari tangan, kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti.”
 Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan tintanya menjadi  kabur, tetapi saya tetap berusaha untuk terus membacanya lagi.
 “Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan Abang. Jika Siti  puashati dengan semua jawapan ini, dan tetap inginkan Abang tinggal di  rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang  berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti.” “Tetapi, jika Siti tidak  puas hati, sayangku…biarkan Abang masuk untuk mengemaskan barang-barang  Abang, dan Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia  Abang bila Siti bahagia.” Saya terpegun. Segera mata memandang pintu  yang terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan pintu dan  melihatnya berdiri di depan pintu dengan wajah gusar sambil tangannya  memegang susu dan roti kesukaan saya.
 Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah mencintai saya lebih  dari dia mencintai saya. Itulah cinta, di saat kita merasa cinta itu  telah beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita merasa dia tidak  dapat memberikan cinta dalam ‘kewujudan’ yang kita inginkan, maka cinta  itu telah hadir dalam ‘kewujudan’ yang tidak pernah kita bayangkan  sebelum ini.